Julia tidak dapat melelapkan matanya pada malam yang penuh bermakna baginya. Manakan tidak, kebanyakan artis dan penerbit menegurnya pada malam itu, malah jurukamera tidak putus-putus mengambil gambarnya. Semua rancangannya nampak berjalan lancar.
Keesokan harinya Julia bangun agak lewat memandangkan semalam fikirannya penuh dengan impian kejayaan yang bakal menyusul. Sambil sarapan Julia membaca akhbar yang dilanggannya setiap hari. Biasanya budak yang menghantar akhbar akan melemparkan akhbarnya betul-betul jatuh depan pintu.
Tiada sebarang berita tentangnya, cuma banyak berita tentang malam anugerah yang gilang-gemilang diadakan semalam.
Oleh kerana tidak puas hati, Julia terus membuka komputer dan membaca status terkini di Facebook. Seperti yang dijangkanya banyak 'tag' yang dia dapat sama ada gambar mahupun laman web yang bercerita tentangnya. Semua isi laman web itu mengutuknya kerana berpakaian menjolok mata. Dalam sekelip mata Julia merasakan dia seolah-olah tersohor di Malaysia malah mungkin seluruh Asia.
Dia tahu yang mungkin seluruh rakyat Malaysia akan mengenalinya selepas ini walaupun dia dikaitkan dengan cerita tidak elok.
Bagi Julia pengorbanan yang dilakukan dengan memperjudikan maruahnya itu sangat berbaloi. Ya, berbaloi dengan populariti yang dia dapat dalam sekelip mata.
"Aku berjaya!"