“Diuji dengan kesusahan supaya hambaNya bersabar dan dikurniakan kesenangan supaya hambaNya bersyukur dengan membantu mereka yang susah. Oleh itu jangan terasa hina untuk menerima dan kedekut untuk memberi.”

Friday, October 4, 2013

Ustaz Nampak Kaya

"Allahuakbar!"

Lamunan Uztaz Farhan dikejutkan dengan keretanya yang tiba-tiba bergegar. Dilepaskan pedal minyak kemudian dipegang stereng kuat-kuat supaya dapat dikawal keretanya daripada berpusing dan terbabas.

Perodua Myvi itu begerak semakin perlahan dan akhirnya berhenti di bahu jalan Lebuhraya Utara-Selatan.

Ustaz Farhan sebenarnya bertolak daripada Bangi dan dalam perjalanan menuju ke Masjid Kampung Kelawar, Tanjung Malim.

Mujur keretanya itu sudah mamasuki susur keluar Tanjung Malim. Plaza Tol sudah nampak di depan mata.

"Astagfirullahal'azim. Permudahkan urusanku Ya Allah," rintih Uztaz Farhan dalam hati.

Keluar daripada perut kereta dia terus jalan keliling untuk tengok apa masalahnya. Jelas nampak tayar depan sebelah kiri sudah kempis.

Jam sudah menunjukkan pukul 6 petang.

"Hallo, Assalamualaikum Haji Fatah, saya Ustaz Farhan."

"Waalaikumussalam, ustaz sudah sampai masjid?" teka Haji Fatah.

"Belum lagi, saya ingin beritahu yang kereta saya bocor dekat Plaza Tol Tanjung Malim. Mungkin saya sampai lewat sikit. Saya cuba untuk selesaikan masalah ini secepat mungkin dan terus ke masjid nanti."

"Ustaz sekarang selepas atau sebelum Plaza Tol?" tanya Haji Fatah lanjut.

"Saya berada sebelum Plaza Tol."

"Ok, Ustaz tunggu di situ nanti saya hantarkan budak untuk tolong," sambung Haji Fatah.

Ustaz Farhan lega mendengar kata-kata Haji Fatah. Secara jujurnya dia memang belum pernah menukar tayar kereta seorang diri. Sepanjang hidupnya, setiap kali terjadi perkara macam ini mesti ada teman bersama.

Pintu tempat simpan barang dibuka, dicari alat untuk menukar tayar kemudian diletakkan di tepi tayar depan sebelah kiri.

Tiba-tiba matanya silau dengan cahaya lampu kereta yang berhenti di belakang keretanya.

"Orang kaya mana pula yang berhenti di sini?" Ustaz Farhan mengomel seorang diri.

Dikatakan kaya kerana kereta yang berhenti di belakangnya itu sebuah kereta Mercedes Benz.

"Assalamualaikum," sapa lelaki yang keluar daripada kereta Mercedes bersama pemandunya.

"Waalaikumussalam, ingatkan siapa yang berhenti tadi. Rupanya Ahli Yang Berhormat."

"Janganlah panggil *Ana macam tu, macam tak biasa pula ustaz ni," celah YB Ustaz Azman.

"Bukan apa, terharu dengan YB sebab sanggup berhenti tengok kereta Ana yang rosak," gurau Ustaz Farhan.

"Ana ingatkan siapa tadi, tengok orang pakai kopiah dengan pintu tempat letak barang terbuka. Mana tahu kawan yang dikenali dalam kesusahan."

"Rosak apa?" tanya YB Ustaz Azman.

"Tayar bocor rasanya."

Sebentar kemudian sampai seorang lelaki dengan motor melawan arus lalu lintas Plaza Tol.

"Ini Ustaz Farhan?" tanya beliau.

"Ya saya."

"Saya Rosli seorang mekanik, kawan kepada Haji Fatah. Dia suruh saya datang tolong ustaz."

"Oh, terima kasih sudi datang. Kereta saya ini tayar bocor rasanya."

Rosli terus mengambil alat yang ada ditepi kereta dan mula membuka tayar dibantu Ustaz Farhan.

"Tayar ini sudah lusuh, kalau mahu tampung bahagian bocor pun tidak mampu tahan lama. Bila Ustaz mahu pulang balik ke Kuala Lumpur?"

"Rancangannya malam ini selepas ceramah. Esok saya ada ceramah di Melaka pula."

"Ish, **Anta ni, tayar macam ini pun masih berani bawa kereta jauh? Ana rasa agak berisiko. Tayar sebelah kanan pun ana tengok sudah lusuh. Sudah lama tidak tukar tayar ke ustaz?"  YB Ustaz Azman membebel.

"Rasanya tidak sampai setahun tukar, mungkin sebab Ana berjalan jauh sebab mengajar di banyak tempat, itu yang jadi cepat lusuh," adu Ustaz Farhan.

"Mengajar agama itu memang sangat dituntut ustaz, tetapi keperluan asas duniawi pun kena jaga juga. Sibuk sangat ke Anta sampai tahap tidak sempat tukar tayar kereta?" tanya YB Ustaz Azman lagi.

Ustaz Farhan mendekati YB Ustaz Azman dan berbisik:
"Ana bukan tiada masa ustaz tetapi dalam dompet ana ini ada RM50 sahaja bekal perjalanan pergi balik."

Terus bergenang mata YB Ustaz Azman mendengar jawapan Ustaz Farhan. Dia terus pergi dapatkan pembantunya dan berbincang.

Selepas itu pembantunya pergi berjumpa dengan mekanik dan berkata sesuatu.

"Selepas siap tukar tayar kereta, saya akan terus hantar ustaz ke masjid dan bawa kereta ustaz balik ke bengkel saya. Saya siapkan kereta malam ini juga," cadang Encik Rosli si mekanik.

"Tetapi..."

"Tidak usah bertapi-tapi ustaz, biar Encik Rosli selesaikan kereta Anta dan tentang bayaran Ana akan tolong selesaikan," YB Ustaz Azman mencelah.

"Allahuakbar, jangan bersusah payah untuk Ana. Masalah ini Ana akan cuba selesaikan sendiri," rayu Ustaz Farhan.

"Hari ini hari ustaz, esok mungkin hari Ana. Benarkan Ana tolong Anta mana yang termampu," jawab YB dengan tenang.

"Ustaz tumpukan kerja dakwah untuk memberi ceramah agama malan ini di masjid. Semoga Ana pun beroleh pahala tolong Anta di jalan dakwah ini." sambungnya lagi.

"Terima kasih banyak-banyak ustaz, tiada kata yang mampu Ana ucap melainkan syukur kepada Allah di atas rezeki yang dikurniakan hari ini." 

Mereka berdua bersalaman dan dirasakan ada sesuatu dalam tangan. Apabila dibuka tangannya ada sekeping duit RM50.

"Doakan saya murah rezeki dan dipermudahkan segala urusan bersama rakyat," tanpa sempat Ustaz Farhan berkata-kata terus dipotong oleh YB Ustaz Azman.

"Terima kasih banyak-banyak YB. Saya berdoa, Allah murahkan rezeki Ustaz dan dipermudahkan segala urusan," jawab Ustaz Farhan dengan terharu.

Bersambung...

* Ana = Saya
** Anta = Awak 
(Kata ganti diri dalam Bahasa Arab ini cenderung digunakan oleh mereka yang pernah belajar di Timur Tengah)

No comments: