Rutin harian aku memang penat. Siang hari bekerja sebagai cikgu Bahasa Inggeris. Malamnya pula aku dijemput untuk berubat.
Biasanya aku hanya menemani rakan membantu beliau berubat orang. Ada sekali sekala aku sendirian berubat orang.
Mulanya aku ikut orang untuk belajar serba sedikit ilmu perubatan halau jin, hantu dan syaitan ini. Sebabnya rumah yang aku duduki sekarang, masa mula-mula duduk dulu sering diganggu. Anak dan isteri semua kena.
Tidaklah diganggu teruk. Setiap kali diganggu nampak seolah-olah mereka hanya mahu bergurau tetapi lama-kelamaan naik rimas dan seram juga.
Ada orang andaikan apa yang berlaku di rumah aku ini sebab perbuatan penghuni rumah sebelum ini tetapi yang peliknya rumah ini masih dara sebab aku ambil kunci terus daripada pemaju.
Jadi andaian mereka salah. Andaian yang paling tepat ialah mungkin tapak rumah aku ini pernah diduduki makhluk halus. Apabila ada manusia ambil alih tempat mereka, maka mereka cuba ganggu untuk beritahu ini tempat mereka.
Antara gangguan yang pernah kami terima ialah, bunyi orang mandi dalam bilik air, ada nampak bayang makhluk melintas, menjelma jadi ahli keluarga sedangkan dia tiada di rumah dan bilik air yang basah seolah-olah baru lepas orang guna walaupun rumah ditinggalkan seminggu sebab cuti.
Aku pernah panggil beberapa orang ustaz dan bomoh untuk menghalau makhluk halus ini daripada rumah tetapi tidak berkesan.
Akhirnya aku sendiri ambil peluang untuk belajar ilmu perubatan Islam daripada seorang kawan. Alhamdulillah, sekarang tiada lagi gangguan tersebut.
Kata seorang ustaz, kunci kejayaan kepada melawan makhluk halus ini ialah amalan orang yang terkena itu sendiri. Ustaz yang berubat hanya mampu membantu sebanyak 30% sahaja, selebihnya 70% ialah amalan doa dan ayat Al-quran secara konsisten oleh tuan punya badan.
Dengan kata lain kalau mahu berjaya, banyakkan amalan ibadah dan elakkan maksiat kecil dan besar. Barulah benda itu tidak datang balik kepada kita.
Lamunan aku dikejutkan oleh panggilan salam diluar rumah.
"Assalamualaikum ustaz!"
"Waalaikumussalam," jawab aku.
Orang panggil ustaz selepas tahu aku boleh berubat cara Islam.
Sebaik membuka pintu aku lihat gelagat Samad dalam keadaan cemas.
"Ustaz, cepat ikut saya. Ada orang mengamuk dirasuk syaitan di rumah Pak Man."
"Allahuakbar, siapa yang mengamuk?" tanya aku lanjut.
"Anak perempuan Pak Man nama Lina yang kerja di pasaraya Mydin," cerita Samad.
Aku terus bergegas ikut Samad dengan motor ke rumah Pak Man.
Sesampai di sana aku lihat ramai orang sudah berkumpul. Kebanyakannya saudara mara Pak Man memandangkan jiran sekeliling ada pertalian darah.
Semasa aku menaiki tangga rumah aku ada membaca beberapa ayat.
Masuk rumah aku lihat ada seorang gadis sedang bersandar di dinding sambil tangan memegang pisau dapur.
Emaknya menangis sambil dipujuk saudara mara.
Selepas Lina melihat kelibat aku, dia berkata:
"Jangan dekat, nanti aku tikam perut."
Aku teruskan membaca ayat Al-Quran dan dihembuskan kepada Lina. Tiada sebarang respon. Aku baca lagi dan dihembuskan berkali-kali. Tiada sebarang respon juga.
Reaksi muka Lina bukan macam orang kena rasuk tetapi macam tertekan sambil tangannya menghayun pisau. Suaranya juga tidak berubah sedangkan suara orang kena rasuk biasanya berubah.
Aku pun beralih kepada ayah Lina dan bertanya:
"Macam mana boleh jadi macam ini? Apa puncannya?"
"Lina sebenarnya putus cinta dengan seorang lelaki kampung sebelah. Selepas balik kerja dia terus mengamuk dan ugut untuk bunuuh diri."
"Sebelum ini dia tidak pernah bersikap macam ini. Dia seorang gadis yang lembut. Itu yang saya suruh Samad panggil ustaz takut dirasuk syaitan akibat buatan bekas kekasih dia," terang Pak Man lanjut.
"Allahuakbar, saya rasa ini bukan akibat rasukan syaitan Pak Man. Tetapi Lina sangat tertekan. Mungkin dia tidak pernah bercinta sebelum ini."
"Nanti saya cuba pujuk dia," kata aku.
"Lina, letak pisau mari kita bincang elok-elok," pujuk aku
"Tak nak!" jerit lina.
Aku menuju makin rapat dan Lina acu pisau kepada aku. Aku terus cuba pujuk sambil terus rapat.
"Cuba Lina fikir baik-baik, adakah berbaloi Lina bunuh diri? Dunia pun merana akhirat pun mahu hidup merana? Biarlah dunia merana asalkan akhirat nanti Lina hidup bahagia dalam syurga."
"Kalau Lina mahu bunuh orang, berbaloikah masuk penjara sedangkan lelaki yang tinggalkan Lina hidupnya tidak terjejas."
"Tenangkan diri Lina, emak ayah Lina tidak akan marah Lina. Mereka tetap sayangkan Lina."
"Fikir masa depan, Lina masih muda. Ada orang lebih teruk masalah daripada Lina tetapi mereka tidak putus asa dengan hidup."
"Buktikan pada lelaki itu Lina boleh hidup bahagia dan berjaya tanpa dia," ceramah aku lanjut.
"Kakak, mak sayangkan kakak. Jangan tinggalkan mak. Tolonglah letak pisau. Mak tidak akan marah kakak."
Air mata Lina bercucuran selepas dengar rayuan emaknya itu.
Aku terus genggam pergelangan tangan Lina yang pegang pisau dan dia terus lepaskan pisau sambil terduduk.
Emaknya terus datang peluk Lina dan bawanya masuk bilik.
"Macam-macam perangai anak muda sekarang. Inilah akibat tidak beri cukup ilmu agama masa kecil. Ada masalah sikit nak bunuh diri," rungut aku dalam hati.
"Terima kasih ustaz," kata Pak Man.
"Pak Man kena cakap elok-elok dengan Lina. Jangan berkasar nanti dia lebih tertekan," pesan aku.
"Baiklah ustaz, memang silap saya sebab tengking dan ungkit macam-macam dengan dia. Mungkin itu sebab dia mengamuk," balas Pak Man.
Baliklah aku petang itu dengan perasaan lucu.
"Rasukan syaitan konon," kata aku dalam hati sambil gelak.
No comments:
Post a Comment