"Ustaz sekarang banyak duit. Setiap malam mengajar dapat duit."
Saya hanya mampu tersenyum teringatkan kata-kata seorang teman semasa kami minum pagi bersama.
Dalam hati siapa yang tahu. Secara zahir orang tengok saya dapat banyak duit.
Katakan setiap masjid bagi kepada seorang ustaz yang mengajar RM100. Darabkan dengan 6 malam mengajar dapatlah RM600 seminggu.
Kiraan itu jika sebuah masjid beri RM100. Kalau bagi RM50? Kalau tidak bagi langsung?
Pernah ada AJK masjid cakap kepada saya, "Ustaz mengajar agama kena ikhlas jangan harapkan duit sangat. Saya kagum ustaz tidak mengenakan sebarang bayaran."
Dengan AJK masjid berkata begitu menandakan saya tidak mendapat sebarang wang saguhati pada malam itu.
Secara jujur saya tidak pernah meminta duit jika diminta mengajar.
Apabila AJK masjid bertanya:
Apabila AJK masjid bertanya:
"Berapa bayaran ustaz kenakan untuk mengajar kuliah maghrib di masjid?"
"Maaf, saya tidak menetapkan sebarang bayaran." jawab saya.
Ya, saya cuba untuk mengajar agama seikhlas mungkin dengan tidak menetapkan sebarang bayaran. Saya yakin rezeki itu ditangan Allah.
Alhamdulillah, setakat ini rezeki saya cukup setiap bulan untuk sara hidup dan anak isteri di rumah. Walaupun saya tidak meminta, kebanyakan masjid memberi wang saguhati.
Bagi mereka yang cakap ustaz sekarang hidup mewah itu tidak semestinya betul. Ya, ada yang mampu hidup mewah. Tetapi saya tidak capai tahap itu lagi.
Akan tetapi rezeki saya sentiasa cukup, Alhamdulillah.
Pernah saya dapat RM3,000 lebih sebulan. Nampak banyak tetapi selepas ditolak kos minyak kereta, tol, selenggara kereta dan makan semasa perjalanan maka bakinya tidak banyak.
Saya pula dijemput mengajar seluruh Malaysia. Prinsip saya selagi mampu saya akan terima semua jemputan megajar. Niat saya untuk sebarkan ilmu agama sebanyak mungkin.
Pernah Tok Guru saya berpesan.
"Jika kita ikhlas berdakwah, tentang rezeki kita tidak perlu risau. Allah amat kasih kepada hambanya yang berdakwah. Rezeki kita akan sentiasa cukup."
Berpegang kepada kata-kata itulah sehingga hari ini saya masih gagah memegang stering untuk memecut berdakwah seluruh Malaysia.
Hari ini saya mendapat rezeki servis kereta dan tukar tayar percuma. Ini semua rezeki daripada Allah untuk hambanya yang bersabar diuji dengan tayar bocor, Alhamdulillah.
Jam menunjukkan pukul 11.42 malam. Pintu pagar rumah sudah kelihatan.
"Alhamdulillah, sampai rumah dengan selamat dan masih diberi ruang untuk berdakwah sebagai bekal di akhirat. Aku sangat bersyukur kepadaMu Ya Allah!" rintih Ustaz Farhan dalam hati yang sedang sebak kegembiraan.
No comments:
Post a Comment