“Diuji dengan kesusahan supaya hambaNya bersabar dan dikurniakan kesenangan supaya hambaNya bersyukur dengan membantu mereka yang susah. Oleh itu jangan terasa hina untuk menerima dan kedekut untuk memberi.”

Friday, April 8, 2011

Barang lama

Pagi itu muka Puan Amelia terus berubah kemerahan menahan marah sebaik sahaja Rashid masuk berjumpanya dalam pejabat.

"Awak ni tidak amanah dalam menjaga harta Syarikat! Sepatutnya awak jaga elok-elok laptop ni, sampai ke tangan awak je terus rosak. Baru seminggu awak guna."

"Nak buat macam mana puan, saya dah jaga sehabis baik laptop ni. Tetapi entah macam mana bila saya guna semalam tiba-tiba terpadam dengan sendiri. Puas saya tekan tetapi tak hidup juga." balas Rashid.

"Sekarang ni awak kena baiki sampai ok. Saya tak nak dengar sebarang alasan." tegas Amelia.

Amelia merupakan seorang pengurus bahagia IT di Syarikat Elmond Corporation. Syarikat ini bertanggungjawab dalam membekalkan sistem keselamatan elektronik di pejabat-pejabat seluruh semenanjung Malaysia.

"Saya dah cuba bawa ke 7 buah kedai komputer tetapi semua cakap barang ganti tidak ada di pasaran." tegas Rashid.

"Lagipun, bukan salah saya laptop ni rosak. Takde pulak saya jatuhkan laptop ni ataupun selam laptop dalam air. Tiba-tiba je tak hidup dan laptop ni sememangnya sudah lama. Semua perisian yang saya guna sangat lembab. Kalau Puan jual di kedai pun memang tak laku sebab takde siapa yang nak barang lama." tambah Rashid.

"Barang lama.." keluh Amelia dalam hati.

Apabila perkataan 'barang lama' singgah ditelinganya, terus fikiran Amelia melayang teringat masalah getir yang dihadapinya. Walaupun kerjayanya dikatakan berjaya, tetapi kehidupan peribadinya gagal terutama dalam membina keluarga. Umurnya hampir mencecah 40 tahun tetapi masih belum berpunya. Emak dan Ayah dikampung termasuk saudara mara selalu bertanya tentang perkara ini. Sampaikan Amelia kadang-kadang tertekan untuk balik kampung.

Amelia tahu dia seorang yang garang, tegas dan kuat bekerja. Tetapi itu semua tidak boleh dijadikan alasan untuk jodohnya kerana Amelia tahu jodoh pertemuan itu ditangan tuhan. Kita manusia hanya mampu berusaha.

"Puan Amelia, kenapa ni?" tanya Rashid.
"Saya minta maaf kalau kata-kata saya tadi nampak macam biadap."

"Takpe Rashid, ada betulnya juga kata-kata awak. Pergi jumpa Hani dan bagi laptop rosak tu kat dia. Selepas itu isi borang untuk ambil laptop lain." jawab Amelia.

"Terima kasih Puan Amelia."

Wednesday, April 6, 2011

Pengampu yang berjaya

Halim baru mendapat sepucuk surat daripada pihak pengurusan. Selepas membuka surat itu dia terus menjerit, "YES!".

"Kenapa Halim?" tanya Zairul.
"Aku dapat anugerah pekerja cemerlang untuk tahun lepas Rul."
"Tak sangka baru kerja setahun lebih dah dapat anugerah, aku yang dah kerja 3 tahun ni pun tak dapat apa-apa anugerah lagi" Balas Zairul.

"Tu la engkau, lain kali berguru la dengan aku kalau nak dapat anugerah ni. Haha.."

Tengah harinya, Halim keluar makan dengan penuh kegembiraan. Hairannya tiada seorang pun rakan sekerja yang mengucapkan tahniah kepadanya sewaktu terserempak di gerai. Setakat ni Tuan Badrul bosnya sahaja yang mengucapkan tahniah kepadanya.

Mana tidaknya, siapa yang tak kenal dengan Halim, seorang yang suka ponteng waktu kerja dan kerja yang dibuat tak pernah siap. Paling teruk amalan yang dia selalu buat ialah datang kerja seawal 7 pagi untuk pastikan punch card dia bersih dan hampar kotak untuk tidur bawah mejanya. Kadang-kadang pukul 11 baru bangun.

Semua rakan sekerjanya tahu perangai dia, sebab itu mereka menyampah apabila dapat tahu Halim dapat anugerah pekerja cemerlang.

Tuan Badrul bukan tak tahu prestasi kerja Halim, tetapi oleh kerana Halim ni pandai mengampu bos, maka kesalahannya jadi tak nampak.

Keesokan harinya Tuan Badrul bertanyakan kelibat Zairul. Semua perkerja jawab tak tahu. Apabila Tuan Badrul tengok rekod punch card Zairul, dia datang seawal 7 pagi lagi. Selepas puas mencari maka Tuan Badrul pun pergi ke meja Zairul.

Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Zairul merengkok tidur bawah meja. "Hoi Zairul! Ini bukan rumah tempat kau tidur, ini pejabat tempat bekerja!" Jerkah Tuan Badrul.

Zairul bangun dengan terpinga-pinga, "Maaf Tuan, saya sebenarnya ingin mendapat anugerah pekerja cemerlang tahun depan, sebab tu saya ikut apa yang pekerja cemerlang selalu buat."

"Awak ikut saya masuk pejabat, sekarang!" Balas Tuan Badrul yang terasa dengan kata-kata Zairul.

Sunday, April 3, 2011

Cuci mata

Alan memandu dengan mengantuknya melalui jalan yang sesak di Bukit Bintang. Sesampai sahaja di cabang empat Bukit Bintang antara bangunan Lot 10 dan bangunan Yayasan Selangor sekali lagi lampu isyarat bertukar merah. "Argh!" rengus Alan sambil tangannya menghentak stereng. "Kalau macam ni bila la kau nak sampai rumah?" Tanya Alan kepada dirinya sendiri.

Dihadapan kereta Alan segerombolan pejalan kaki melintas jalan sebaik sahaja semua kereta berhenti kerana lampu merah. Alan memerhati mereka melintas dihadapannya.

Tiba-tiba mata Alan terbeliak! Apa tidaknya, seorang wanita mendukung anaknya berpakaian sangat seksi Hingga boleh menampakkan bentuk yang sepatutnya tidak nampak oleh orang luar. Mata Alan terus mengekori gadis itu melintas jalan di hadapan keretanya.

"Dah ada anak pun masih seksi?" Tanya Alan sekali lagi kepada dirinya.

"Astaghfirullah!" Tiba-tiba Alan teringat yang dia sebenarnya sedang membuat dosa. Mungkin Malaikat sudah mencatit dosa yang dilakukannya sebentar tadi. Alan beristighfar beberapa kali.

Hakikatnya Alan sudah biasa melihat ramai wanita berpakaian seksi sekitar KL, tetapi kadang-kala hati lelakinya terjerat dek kecantikan tubuh dan wajah wanita yang berpakaian seksi dan hanyut dengan godaan itu. Inilah ujian yang perlu dihadapi Alan setiap hari.

Rasa mengantuk Alan tadi sudah hilang akibat aktiviti cuci mata yang dilakukan sebentar tadi. Alan terus memecut laju sebaik sahaja lampu hijau menyala. Dalam fikirannya masih tertanya-tanya kenapa wanita suka berpakaian seksi, sedangkan tindakannya itu sebenarnya menyeksa jiwa muda lelaki yang belum berkahwin. 

"Ujian..ujian.." rungut Alan dengan redha.

Saturday, March 26, 2011

Maruah dan populariti

Julia tidak dapat melelapkan matanya pada malam yang penuh bermakna baginya. Manakan tidak, kebanyakan artis dan penerbit menegurnya pada malam itu, malah jurukamera tidak putus-putus mengambil gambarnya. Semua rancangannya nampak berjalan lancar.

Keesokan harinya Julia bangun agak lewat memandangkan semalam fikirannya penuh dengan impian kejayaan yang bakal menyusul. Sambil sarapan Julia membaca akhbar yang dilanggannya setiap hari. Biasanya budak yang menghantar akhbar akan melemparkan akhbarnya betul-betul jatuh depan pintu.

Tiada sebarang berita tentangnya, cuma banyak berita tentang malam anugerah yang gilang-gemilang diadakan semalam.

Oleh kerana tidak puas hati, Julia terus membuka komputer dan membaca status terkini di Facebook.  Seperti yang dijangkanya banyak 'tag' yang dia dapat sama ada gambar mahupun laman web yang bercerita tentangnya. Semua isi laman web itu mengutuknya kerana berpakaian menjolok mata. Dalam sekelip mata Julia merasakan dia seolah-olah tersohor di Malaysia malah mungkin seluruh Asia.

Dia tahu yang mungkin seluruh rakyat Malaysia akan mengenalinya selepas ini walaupun dia dikaitkan dengan cerita tidak elok.

Bagi Julia pengorbanan yang dilakukan dengan memperjudikan maruahnya itu sangat berbaloi. Ya, berbaloi dengan populariti yang dia dapat dalam sekelip mata.

"Aku berjaya!"

Friday, March 25, 2011

Jadi artis terkenal

Julia membelek-belek gaun ketat yang dipakainya di hadapan cermin. Gaun yang berwarna coklat itu memiliki warna hampir sama dengan kulitnya. "Nampak cantik tapi agak seksi di bahagian dada." getusnya dalam hati.

"Tapi takpe sebab ini adalah pengorbanan yang perlu aku buat untuk menjadi artis terkenal sekelip mata." Katanya sambil tersengih melihat dirinya di dalam cermin.

Tanpa berlengah dia terus turun ke lobi hotel dan disambut oleh pemandu kereta yang akan membawanya  ke majlis anugerah gilang gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands. Mata pemandu kereta tidak berkelip melihat bahagian tubuhnya yang terdedah itu. Julia tersenyum sinis.

Sesampainya di sana, pintu kereta dibuka oleh pegawai yang menjaga laluan karpet merah dan Julia pun keluar daripada kereta dengan perasaan bangga. Sebaik sahaja kelibatnya dilihat oleh wartawan dan jurukamera maka berduyun-duyun jurukamera mengambil gambarnya. Julia mengambil kesempatan ini bergaya dengan pelbagai posisi yang dirasakan hebat.

Majlis anugerah berlansung dengan jayanya. Walaupun Julia tidak memenangi apa-apa anugerah. tetapi dia merasakan seperti antara pemenang pada malam itu memandangkan rancangannya nampak berjaya. Manakan tidak, setiap mata memandang ke susuk tubuhnya yang mengenakan fesyen yang tidak pernah dipakai artis tempatan.

"Aku berjaya!" 

Thursday, March 24, 2011

Bunuh diri

Si gadis duduk di birai bangunan paling atas KB Mall, dia merenung masa depannya tanpa menyedari ada tangan yang cuba memegangnya dari belakang. Dalam pemikiran si gadis hanya tinggal satu jalan penyelesaian sahaja untuk masalah yang menyerabutkan kepalanya. Masalah emak dan ayah bergaduh, kekasih nak putuskan hubungan dan keputusan peperiksaan SPM yang agak teruk.

Semua masalah ini cukup untuk dijadikan hujah dia mengambil keputusan penting ini. Tiba-tiba satu tangan memegang lengannya dari belakang. dia cuba untuk meronta tetapi gagal. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menjatuhkan tubuhnya daripada bangunan tinggi KB Mall. Usahanya itu gagal kerana tangannya dipegang erat oleh seorang lelaki yang berpakaian seragam Anggota Bomba.

Wednesday, March 23, 2011

Jihad ekonomi

Beliau terkenal dengan 'trademark' rambut putih. Macam pengasas KFC Colonel Sanders. Dasar pemikiran beliau ialah jihad ekonomi. Impian hidup beliau ialah untuk melihat orang Islam maju dalam bidang ekonomi macam orang bukan Islam. Beliau sedar yang setiap cabang dan bidang ekonomi dikuasai orang bukan Islam. Bukan kerana orang Islam ditekan tetapi kerana cara pemikiran orang Islam yang lemah dan tidak minat dengan perniagaan

Tetapi bab kata pepatah, air tidak boleh bercampur dengan minyak dan itulah yang berlaku kepada beliau. Beliau dibuang dan dihalau dari lembaga pengarah. Empayar yang dibina selama lebih 20 tahun terpaksa ditinggalkan kerana arahan pihak atas yang tidak suka dengan pendekatan beliau yanag berbentuk jihad ekonomi.

Pihak atasan hanya suka kepada mereka yang kaki ampu dan pentingkan kroni. Pihak atasan hanya mahu segelintir individu sahaja yang kaya. Walaupun dalam media massa berdegar-degar memberi syarahan yang mereka akan membangunkan nasib anak bangsa, tetapi hakikatnya Allah yang tahu.

Itulah nasib pejuang agama dan bangsa. Tetapi sejarah mengajar segalanya, setiap kejayaan perlu pengorbanan. Mungkin ini pengorbanan beliau untuk menyedarkan anak cucu siapa musang berjanggut sebenarnya.

Tuesday, March 22, 2011

Selamat hari lahir ibu

Hari lahir ibu baru sahaja disambut. Mungkin bagi sesetengah orang tiada makna apa pun sambutan hari jadi tetapi dalam setahun kita sepatutunya kena pilih beberapa hari istimewa untuk disambut bersama keluarga. Bukan setakat akan membahagiakan kita tetapi akan mengeratkan tali perhubungan antara keluarga.

Satu ketika dulu tiada istilah menyambut hari jadi dalam hidup keluarga Alan. Tetapi, setelah anak-anak membesar dan berkawan dengan ramai jenis manusia, maka Alan dan adik beradik yang 'sporting' cuba merubah suasana ini. Kenapa? Kerana nikmat kebahagiaan yang dirasai dan perasaan untuk terus merasainya.

Apa aktiviti paling ditunggu ya?
Mestilah suap kek ke mulut ibu dan bergambar. Semoga tradisi ini diteruskan sampai Alan tua.

Monday, March 21, 2011

Amalan nenek

Kematian nenek memberi seribu satu pengajaran buat Alan. Selepas melihat sendiri pemergian nenek yang senang dan urusan pemgebumian yang berjalan lancar membuatkan Alan tertanya-tanya, apakah amalan nenek ketika hidupnya?

Antara amalan yang aku ingat ialah nenek suka membaca Al-Quran. Setiap hari mesti baca Al-Quran selepas subuh dan sebelum tidur. Jika tidak membuka kitab Al-Quran pun mulut nenek tetap terkumat kamit membaca ayat Al-Quran sambil baring. Bulan Ramadhan paling jelas sebab masih Alan ingat nenek pernah khatam 2 kali pada bulan Ramadhan.

Nenek juga selalu suruh anak cucunya mengamalkan ayat Al-Quran tertentu untuk diamalkan. Ada yang Alan amalkan dan ada yang Alan lupa amalkan. Biasalah, orang muda.

Sunday, March 20, 2011

Hari kematian nenek

Masih Alan ingat hari kematian nenek yang pergi dengan tenang. Nenek meninggal pada waktu malam selepas maghrib pada hari jumaat. Pada pagi itu nenek yang terlantar meminta untuk dimandikan kerana katanya ada saudara ingin melawatnya petang ini. 

Selepas ditanya siapakah dia nenek mengatakan dia lupa nama tetapi ingat akan wajahnya. Oleh kerana sejak akhir-akhir ini ramai saudara mara yang datang melawat maka Alan pun tidak bertanya lanjut.

Alan membantu mengangkat nenek ke tandas untuk dimandikan memandangkan kudrat lelaki lebih kuat berbanding wanita. Selepas siap dimandikan nenek meminta untuk dipakaikan kain batik yang baru kerana ada saudara ingin datang melawatnya petang itu. Permintaan nenek dituruti tanpa bertanya banyak soalan. 

Saudara yang datang melawat tidak putus-putus sejak tengah hari. Dalam ramai-ramai yang datang melawat itu ada seorang mak cik yang agak rapat hubungannya dengan nenek datang mendekati Alan dan mengatakan: "Nenek tu mungkin dah tak lama tu, jangan berhenti mengaji Al-Quran kat tepi nenek. Ajarlah mengucap kat tepi telinga nenek sekali sekala. Jangan biar nenek keseorangan. Biar dia sentiasa ingat Allah."

Kata-kata mak cik itu membuatkan Alan terasa pelik, tetapi tidak mempersoalkan kata-katanya memandangkan dia agak dihormati di kampung tu.

Menjelang petang, oleh kerana kesibukan melayan tetamu lansung tiada siapa dikalangan anak dan cucu bertanya tentang orang yang nenek nantikan. Sudah datangkah dia?

Selepas maghrib hanya tinggal anak dan cucu sahaja disekeliling nenek mengaji Al-Quran. Dan pada waktu itulah nafas nenek dah turun naik dan menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan diajar mengucap 2 kalimah syahadah.

Selepas selesai upacara pengebumian maka ahli keluarga berbual mengenangkan nenek dan timbul persoalan siapakah gerangan orang yang nenek nantikan pada petang itu.

Mungkingkah nenek sebenarnya sudah merasai yang Malaikat Maut akan datang menjemputnya pada hari itu. Tiada siapa yang tahu. Hanya Allah yang tahu. Semoga ruh nenek dicucuri rahmah Allah, Al-Fatihah.