Halim baru mendapat sepucuk surat daripada pihak pengurusan. Selepas membuka surat itu dia terus menjerit, "YES!".
"Kenapa Halim?" tanya Zairul.
"Aku dapat anugerah pekerja cemerlang untuk tahun lepas Rul."
"Tak sangka baru kerja setahun lebih dah dapat anugerah, aku yang dah kerja 3 tahun ni pun tak dapat apa-apa anugerah lagi" Balas Zairul.
"Tu la engkau, lain kali berguru la dengan aku kalau nak dapat anugerah ni. Haha.."
Tengah harinya, Halim keluar makan dengan penuh kegembiraan. Hairannya tiada seorang pun rakan sekerja yang mengucapkan tahniah kepadanya sewaktu terserempak di gerai. Setakat ni Tuan Badrul bosnya sahaja yang mengucapkan tahniah kepadanya.
Mana tidaknya, siapa yang tak kenal dengan Halim, seorang yang suka ponteng waktu kerja dan kerja yang dibuat tak pernah siap. Paling teruk amalan yang dia selalu buat ialah datang kerja seawal 7 pagi untuk pastikan punch card dia bersih dan hampar kotak untuk tidur bawah mejanya. Kadang-kadang pukul 11 baru bangun.
Semua rakan sekerjanya tahu perangai dia, sebab itu mereka menyampah apabila dapat tahu Halim dapat anugerah pekerja cemerlang.
Tuan Badrul bukan tak tahu prestasi kerja Halim, tetapi oleh kerana Halim ni pandai mengampu bos, maka kesalahannya jadi tak nampak.
Keesokan harinya Tuan Badrul bertanyakan kelibat Zairul. Semua perkerja jawab tak tahu. Apabila Tuan Badrul tengok rekod punch card Zairul, dia datang seawal 7 pagi lagi. Selepas puas mencari maka Tuan Badrul pun pergi ke meja Zairul.
Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Zairul merengkok tidur bawah meja. "Hoi Zairul! Ini bukan rumah tempat kau tidur, ini pejabat tempat bekerja!" Jerkah Tuan Badrul.
Zairul bangun dengan terpinga-pinga, "Maaf Tuan, saya sebenarnya ingin mendapat anugerah pekerja cemerlang tahun depan, sebab tu saya ikut apa yang pekerja cemerlang selalu buat."
"Awak ikut saya masuk pejabat, sekarang!" Balas Tuan Badrul yang terasa dengan kata-kata Zairul.
No comments:
Post a Comment