“Diuji dengan kesusahan supaya hambaNya bersabar dan dikurniakan kesenangan supaya hambaNya bersyukur dengan membantu mereka yang susah. Oleh itu jangan terasa hina untuk menerima dan kedekut untuk memberi.”

Thursday, October 3, 2013

Kenduri Tragedi

"Mah, maafkan aku."

Ibuku Naimah diam membisu dengan pipinya dibasahi air mata.

"Aku tidak sangka perkara ini boleh terjadi. Puncanya sampai sekarang aku masih binggung fikirkannya." sambung Pak Cik Rosli.

"Aku tidak salahkan sesiapa. Tiada siapa yang mahu perkara ini terjadi tambahan pula di saat kegembiraan ahli keluarga menerima orang baru."

"Aku cuma sedih teringatkan Mia." jawab ibu.

"Dia budak baik. Allah sayangkan orang baik, sebab itu Allah ambil dia awal." Pak Cik Rosli cuba memberikan kata-kata positif.

Mia adalah kakak aku yang kedua. Adik beradik aku ada 5 orang. 2 lelaki, 3 perempuan.

Aku merupakan anak bongsu dan Kak Mia adalah anak ketiga.

2 hari lalu merupakan pesta buat keluarga kami kerana sepupu kami melangsungkan perkahwinan di kampung.

Kenduri adalah waktu yang dinantikan kami sanak saudara kerana lebih meriah daripada hari raya. Mana tidaknya, semua sanak saudara berkumpul di satu tempat, bekerjasama memasak, bergotong royong dan bergurau senda.

Inilah masa untuk mengeratkan tali persaudaraan yang kadang-kadang bertahun tidak jumpa.

Selepas majlis kenduri selesai kami sekeluarga terus balik ke rumah pada malamnya.

Kak Mia ada mengadu sakit perut dan aku mengusiknya:

"Akak makan bukan main banyak, lupa dunia sekeliling, memang patut sakit perut pun."

Kami sekeluarga gelak dalam kereta Perodua Alza abah.

Pagi esoknya kakak masih mengadu sakit perut yang amat sangat dan abah berjanji untuk bawa ke klinik selepas zohor nanti.

"Abah ada kerja kena jumpa kawan pagi ini. Nanti lepas zohor abah bawa Mia pergi klinik."

Ubat sakit perut sudah diberikan kepada kakak tetapi langsung tiada kesan.

Ibu mula resah dan asyik duduk tepi Kak Mia sambil sapukan minyak di perut.

Pukul 1 tengah hari akak sudah tidak sedarkan diri. Abah yang sedang bersiap untuk ke masjid untuk solat zohor terus mengangkat Kak Mia ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital.

Emak dan aku ikut sekali. Sesampai di hospital abah terus bawa ke tempat kecemasan dan diperiksa oleh seorang doktor.

"Maafkan saya, anak Pak Cik sudah tiada." kata doktor.

Aku terkedu seolah tidak percaya. Ibu menangis teresak-esak sambil dipeluk abah.

Aku terduduk di kerusi tidak mampu berkata apa-apa sambil air mata bercucuran keluar tanpa mampu disekat.

Terlalu cepat dia meninggalkan kami tanpa dijangka.

"Kak Mia, maafkan aku." kataku dalam hati.

"Allahuakbar, besarnya ujianMu Ya Allah. berilah kesabaran kepadaku."

Selepas selesai urusan rasmi hospital. Jenazah akak tiba dirumah pukul 5.30 petang. Aku dan Ibu ikut sekali naik van jenazah hospital.

Ayah sudah pulang awal untuk bersiap menerima jenazah Kak Mia. Ramai orang sudah berkumpul untuk melawat dan melakukan solat jenazah di rumah.

Petang itu juga jenazah akak akan disemadikan.

6.05 minit jenazah Kak Mia sudah sampai di kubur. Ayah dan 2 abangku masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah Kak Mia.

Jelas aku lihat air mata ayah membasahi pipi. Bukan kebiasaan seorang ayah semadikan anaknya. Tetapi itulah ketentuan Allah.

Mengikut laporan doktor hasil bedah siasat Kak Mia terkena keracunan makanan mungkin makan masa kenduri di kampung.

Aku menerima mesej yang ramai juga sanak saudara yang terkena dan dikenakan tahanan wad. Tetapi sudah ketentuan Allah yang umur Kak Mia sampai di sini sahaja.

Aku sekeluarga tidak salahkan sesiapa kerana tiada siapa yang mahu perkara ini terjadi.

Aku sudah 2 hari tidak lalu makan, hanya mampu minum air cicah biskut sahaja. Aku rindukan Kak Mia.

Kebaikanmu dan kelucuanmu tidak akan aku lupa sampai bila-bila.

1 comment:

Unknown said...

MashaALLAH. mati tu sgt cepat... Shbt. ni cerita betul ker?