“Diuji dengan kesusahan supaya hambaNya bersabar dan dikurniakan kesenangan supaya hambaNya bersyukur dengan membantu mereka yang susah. Oleh itu jangan terasa hina untuk menerima dan kedekut untuk memberi.”

Monday, October 10, 2011

Komisyen (4)

Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, fikiran Alan terus melayang memikirkan perbualannya dengan Toriq di kedai Mamak sebentar tadi. Apakah betul masih ada kakitangan keselamatan yang ambil duit kopi walaupun SPRM diwujudkan?

Mungkin tekanan hidup di kota ni dengan keinginan memiliki gaya hidup yang mewah membuatkan ramai orang sanggup terima duit rasuah walaupun haram.

"Apa kaedah yang praktikal ya untuk mengatasi masalah ni?" Soal Alan dalam hati.

Dalam keadaan menunggu lampu isyarat bertukar hijau di jalan Raja Laut Alan dapat memerhati pelbagai ragam dan gaya manusia melintas jalan di hadapannya.

Semua manusia ini akan merasai saat kematian termasuk aku. Sungguh tidak kekal hidup di dunia. Segala kemewahan akan ditinggalkan. Kenapa dunia juga yang dikejarkan tanpa memikirkan soal hidup selepas mati?

"Nauzubillah.." Perkataan yang selalu keluar daripada mulut Alan untuk minta dijauhkan daripada perkara buruk dan jahat.

Tabiat Alan yang suka berfikir ketika memandu memang wujud sejak sekian lama. Memang sangat membantu untuk hilangkan perasaan mengantuk tetapi kadang-kadang boleh membuatkan hilang fokus terutama kalau terlampau berfikir.

"Bahaya..bahaya.."Itulah perkataan yang terkeluar apabila teringatkan dirinya yang pernah hampir kemalangan akibat terlampau asyik berfikir.

"Mungkin aku perlu tanya Toriq keadaan di negara Pakistan tentang isu rasuah ni. Adakah di negara Pakistan lagi berleluasa rasuah tanpa dibendung? Menurut cerita yang aku dengar kat sana lagi teruk la rasuah." Getus Alan dalam hati.

Setelah kesimpulan telah dibuat untuk sesi berfikir ketika memandu kali ini maka fokusnya sekarang lebih tertumpu untuk cepat sampai di rumah. Motor kesayangannya itu terus dipecut laju sebaik sahaja keluar daripada kesibukan di tengah kota KL.

Saturday, October 8, 2011

Komisyen (3)

Alan dan Toriq yang masih dalam keadaan terkejut dan berdebar, hanya mampu berdiam diri sepanjang perjalanan ke AirPeak Tech untuk mesyuarat. 

Selepas habis mesyuarat dan sudah melebihi waktu pejabat, Toriq mengajak Alan untuk minum di kedai mamak berdekatan pejabat mereka. Alan terus sahaja bersetuju memandangkan dia tiada janji mahupun komitmen petang itu.

"Bagi saya teh tarik dan roti telur satu." respon Alan pada pelayan.

"Saya pun sama." sahut Toriq.

"Apa cerita ajak aku minum ni?" Tanya Alan.

"Saja je, lagipun lama kita tak berbual panjang."

Setelah lama terdiam menunggu pesanan yang masih belum sampai, Toriq pun memulakan cerita.

"Sebenarnya selalu terjadi macam ni. Kalau terserempak dengan peronda memang mereka mudah cam orang asing memandu kenderaan terutama motor. Lagipun aku pakai topi keledar yang visor nampak dalam. Mungkin lepas ni aku kena tukar yang visor gelap sikit."

"Itulah, aku pun cuak juga tadi. Pertama kali kena sekat dengan kereta peronda. Lepas tu siap bawa senjata automatik lagi." Tambah Alan.

"Sudah banyak kali aku kena sekat dengan peronda terutama sebelum aku mohon lesen tempatan."

"Habis tu duit gaji kau habis kena bayar saman beratus ringgit la?"Tanya Alan.

Perbualan mereka terhenti seketika apabila pelayan kedai mamak membawa tempahan makanan ke meja.

Selepas menghirup teh tarik yang menjadi ketagihan Toriq maka dia terus menjawab soalan Alan.
"Tak la banyak habis sebab setiap kali kena sekat aku bagi duit kopi untuk mereka. Mujur mereka terima, mungkin mereka perlukan duit lebih. Maklumlah hidup di KL ni maintenance tinggi. "

"Biar betul Toriq! Engkau jangan nak main fitnah je."

"Eh, betullah. Tidak la semua peronda terima duit kopi tetapi ada la yang terima. Lagipun diorang mudah terima benda ni daripada orang asing sebab orang tempatan banyak risiko takut nanti dilaporkan kepada pencegah rasuah."

Monday, May 23, 2011

Komisyen (2)

"Ini bukan lesen, saya mintak lesen." arah pegawai polis yang bertugas.

"Eh Toriq, ini ke lesen yang kau cakap dapat minggu lepas?" tanya Alan yang tengah cemas.

"Yelah, ini yang JPJ bagi kepada saya sementara tunggu kelulusan untuk dapat kad lesen tempatan daripada kedutaan. Mereka cakap tunjuk kertas ini jika polis atau JPJ mintak lesen." jawab Toriq.

"Aduh, habislah macam ni.."getus Alan dalam hati.

"Ya, saya tahu kertas ini untuk digunakan sementara dapat kad lesen tempatan, tetapi catatan tarikh di kertas ni sudah lebih 2 minggu. Takkan tak siap lagi?" soal pegawai polis itu dengan yakin.

"Kalau tahu lesen mamat ni hanya kertas, dari awal lagi aku tak bagi dia bawak motor." kesal Alan dalam hati.

"Ya tuan, mereka cakap dalam masa sebulan hingga dua bulan baru siap lesen tempatan." bela Toriq.

Pegawai polis itu mengangguk sambil membetulkan cermin mata hitamnya.

"Hahaha..memang betul apa yang awak cakap tu." gelak pegawai polis.

"Sebenarnya, saya hanya nak menguji jawapan dia je tadi. Memang lesen tempatan ni lambat untuk dapat pengesahan." sambung pegawai polis sambil menoleh ke arah Alan yang pucat lesi.

"Terima kasih kerana bagi kerjasama." ucap pegawai polis sambil menghulurkan kertas merah dan pasport kembali kepada Toriq.

Pegawai polis itu terus memasuki kereta peronda dan beredar menginggalkan Alan dan Toriq yang masih dalam keadaan terkejut.

Saturday, May 14, 2011

Komisyen (1)

Alan berkenalan dengan Toriq hampir setahun. Toriq yang bukan berasal daripada Malaysia ini adalah bekas pelajar jurusan ICT di Universiti Teknologi Petronas. Dia sebenarnya berasal daripada Pakistan.

Perkenalan mereka ini terjalin apabila mereka bekerja di syarikat yang sama iaitu di Ingram Auto Solution Sdn.Bhd untuk menguruskan pembangunan IT syarikat.

"Nampaknya nasib kita la Toriq kena hadiri mesyuarat dengan AirPeak Tech. Mesti boring kerja ni." Sapa Alan.

"Nak buat macam mana dah kita kerja dengan mereka, kenalah ikut arahan. Lagipun bukannya susah pun. Hadiri mesyuarat dan bagi laporan." Jawab Toriq yang sudah fasih Berbahasa Melayu.

"Eh Toriq, kita nak naik apa pergi ke sana?"

"Aku risau takut jam je petang ni. Apa kata kalau kita pergi dengan motor kau?" Cadang Toriq.

"Aku ok jer, tapi aku malas nak bawa motor kalau ada pembonceng yang besar macam engkau. Nanti susah nak kawal masa mencelah." Seloroh Alan.

"Ok, aku sanggup bawa motor tu, lagipun aku baru je dapat lesen minggu lepas." jawab Toriq dengan bangganya.

Sebaik sahaja selesai solat zohor berjemaah dan makan tengah hari, mereka terus membonceng motor ke AirPeak Tech untuk hadiri mensyuarat.

Alan yang berada di belakang terasa mengantuk terutama baru lepas makan nasi dengan lauk ikan patin gulai tempoyak. Memang kegemaran dia.

Masa Alan berusaha untuk mengelakkan dia tertidur atas motor itu, tiba-tiba dia dikejutkan dengan siren kereta peronda polis dan mengarahkan mereka ketepi untuk berhenti.

Alan yang mengantuk tadi tiba-tiba kecut perut. "Aduh, apa pulak masalah ni." keluh Alan dalam hati.

TIba-tiba pegawai polis yang lengkap bersenjata automatik keluar dari kereta peronda dan menuju ke arah Toriq.

"Keluarkan pasport dan lesen." arah pegawai polis itu.

Torik menghulurkan pasport dan sekeping kertas kecik berwarna merah yang ada cop JPJ.

"Mana lesen?" tanya pegawai.

"Inilah lesennya." jawab Toriq sambil tunjuk ke arah kertas merah bercop itu.

Alan dah mula mengelabah dengan jawapan Toriq itu.

Friday, April 8, 2011

Barang lama

Pagi itu muka Puan Amelia terus berubah kemerahan menahan marah sebaik sahaja Rashid masuk berjumpanya dalam pejabat.

"Awak ni tidak amanah dalam menjaga harta Syarikat! Sepatutnya awak jaga elok-elok laptop ni, sampai ke tangan awak je terus rosak. Baru seminggu awak guna."

"Nak buat macam mana puan, saya dah jaga sehabis baik laptop ni. Tetapi entah macam mana bila saya guna semalam tiba-tiba terpadam dengan sendiri. Puas saya tekan tetapi tak hidup juga." balas Rashid.

"Sekarang ni awak kena baiki sampai ok. Saya tak nak dengar sebarang alasan." tegas Amelia.

Amelia merupakan seorang pengurus bahagia IT di Syarikat Elmond Corporation. Syarikat ini bertanggungjawab dalam membekalkan sistem keselamatan elektronik di pejabat-pejabat seluruh semenanjung Malaysia.

"Saya dah cuba bawa ke 7 buah kedai komputer tetapi semua cakap barang ganti tidak ada di pasaran." tegas Rashid.

"Lagipun, bukan salah saya laptop ni rosak. Takde pulak saya jatuhkan laptop ni ataupun selam laptop dalam air. Tiba-tiba je tak hidup dan laptop ni sememangnya sudah lama. Semua perisian yang saya guna sangat lembab. Kalau Puan jual di kedai pun memang tak laku sebab takde siapa yang nak barang lama." tambah Rashid.

"Barang lama.." keluh Amelia dalam hati.

Apabila perkataan 'barang lama' singgah ditelinganya, terus fikiran Amelia melayang teringat masalah getir yang dihadapinya. Walaupun kerjayanya dikatakan berjaya, tetapi kehidupan peribadinya gagal terutama dalam membina keluarga. Umurnya hampir mencecah 40 tahun tetapi masih belum berpunya. Emak dan Ayah dikampung termasuk saudara mara selalu bertanya tentang perkara ini. Sampaikan Amelia kadang-kadang tertekan untuk balik kampung.

Amelia tahu dia seorang yang garang, tegas dan kuat bekerja. Tetapi itu semua tidak boleh dijadikan alasan untuk jodohnya kerana Amelia tahu jodoh pertemuan itu ditangan tuhan. Kita manusia hanya mampu berusaha.

"Puan Amelia, kenapa ni?" tanya Rashid.
"Saya minta maaf kalau kata-kata saya tadi nampak macam biadap."

"Takpe Rashid, ada betulnya juga kata-kata awak. Pergi jumpa Hani dan bagi laptop rosak tu kat dia. Selepas itu isi borang untuk ambil laptop lain." jawab Amelia.

"Terima kasih Puan Amelia."

Wednesday, April 6, 2011

Pengampu yang berjaya

Halim baru mendapat sepucuk surat daripada pihak pengurusan. Selepas membuka surat itu dia terus menjerit, "YES!".

"Kenapa Halim?" tanya Zairul.
"Aku dapat anugerah pekerja cemerlang untuk tahun lepas Rul."
"Tak sangka baru kerja setahun lebih dah dapat anugerah, aku yang dah kerja 3 tahun ni pun tak dapat apa-apa anugerah lagi" Balas Zairul.

"Tu la engkau, lain kali berguru la dengan aku kalau nak dapat anugerah ni. Haha.."

Tengah harinya, Halim keluar makan dengan penuh kegembiraan. Hairannya tiada seorang pun rakan sekerja yang mengucapkan tahniah kepadanya sewaktu terserempak di gerai. Setakat ni Tuan Badrul bosnya sahaja yang mengucapkan tahniah kepadanya.

Mana tidaknya, siapa yang tak kenal dengan Halim, seorang yang suka ponteng waktu kerja dan kerja yang dibuat tak pernah siap. Paling teruk amalan yang dia selalu buat ialah datang kerja seawal 7 pagi untuk pastikan punch card dia bersih dan hampar kotak untuk tidur bawah mejanya. Kadang-kadang pukul 11 baru bangun.

Semua rakan sekerjanya tahu perangai dia, sebab itu mereka menyampah apabila dapat tahu Halim dapat anugerah pekerja cemerlang.

Tuan Badrul bukan tak tahu prestasi kerja Halim, tetapi oleh kerana Halim ni pandai mengampu bos, maka kesalahannya jadi tak nampak.

Keesokan harinya Tuan Badrul bertanyakan kelibat Zairul. Semua perkerja jawab tak tahu. Apabila Tuan Badrul tengok rekod punch card Zairul, dia datang seawal 7 pagi lagi. Selepas puas mencari maka Tuan Badrul pun pergi ke meja Zairul.

Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Zairul merengkok tidur bawah meja. "Hoi Zairul! Ini bukan rumah tempat kau tidur, ini pejabat tempat bekerja!" Jerkah Tuan Badrul.

Zairul bangun dengan terpinga-pinga, "Maaf Tuan, saya sebenarnya ingin mendapat anugerah pekerja cemerlang tahun depan, sebab tu saya ikut apa yang pekerja cemerlang selalu buat."

"Awak ikut saya masuk pejabat, sekarang!" Balas Tuan Badrul yang terasa dengan kata-kata Zairul.

Sunday, April 3, 2011

Cuci mata

Alan memandu dengan mengantuknya melalui jalan yang sesak di Bukit Bintang. Sesampai sahaja di cabang empat Bukit Bintang antara bangunan Lot 10 dan bangunan Yayasan Selangor sekali lagi lampu isyarat bertukar merah. "Argh!" rengus Alan sambil tangannya menghentak stereng. "Kalau macam ni bila la kau nak sampai rumah?" Tanya Alan kepada dirinya sendiri.

Dihadapan kereta Alan segerombolan pejalan kaki melintas jalan sebaik sahaja semua kereta berhenti kerana lampu merah. Alan memerhati mereka melintas dihadapannya.

Tiba-tiba mata Alan terbeliak! Apa tidaknya, seorang wanita mendukung anaknya berpakaian sangat seksi Hingga boleh menampakkan bentuk yang sepatutnya tidak nampak oleh orang luar. Mata Alan terus mengekori gadis itu melintas jalan di hadapan keretanya.

"Dah ada anak pun masih seksi?" Tanya Alan sekali lagi kepada dirinya.

"Astaghfirullah!" Tiba-tiba Alan teringat yang dia sebenarnya sedang membuat dosa. Mungkin Malaikat sudah mencatit dosa yang dilakukannya sebentar tadi. Alan beristighfar beberapa kali.

Hakikatnya Alan sudah biasa melihat ramai wanita berpakaian seksi sekitar KL, tetapi kadang-kala hati lelakinya terjerat dek kecantikan tubuh dan wajah wanita yang berpakaian seksi dan hanyut dengan godaan itu. Inilah ujian yang perlu dihadapi Alan setiap hari.

Rasa mengantuk Alan tadi sudah hilang akibat aktiviti cuci mata yang dilakukan sebentar tadi. Alan terus memecut laju sebaik sahaja lampu hijau menyala. Dalam fikirannya masih tertanya-tanya kenapa wanita suka berpakaian seksi, sedangkan tindakannya itu sebenarnya menyeksa jiwa muda lelaki yang belum berkahwin. 

"Ujian..ujian.." rungut Alan dengan redha.

Saturday, March 26, 2011

Maruah dan populariti

Julia tidak dapat melelapkan matanya pada malam yang penuh bermakna baginya. Manakan tidak, kebanyakan artis dan penerbit menegurnya pada malam itu, malah jurukamera tidak putus-putus mengambil gambarnya. Semua rancangannya nampak berjalan lancar.

Keesokan harinya Julia bangun agak lewat memandangkan semalam fikirannya penuh dengan impian kejayaan yang bakal menyusul. Sambil sarapan Julia membaca akhbar yang dilanggannya setiap hari. Biasanya budak yang menghantar akhbar akan melemparkan akhbarnya betul-betul jatuh depan pintu.

Tiada sebarang berita tentangnya, cuma banyak berita tentang malam anugerah yang gilang-gemilang diadakan semalam.

Oleh kerana tidak puas hati, Julia terus membuka komputer dan membaca status terkini di Facebook.  Seperti yang dijangkanya banyak 'tag' yang dia dapat sama ada gambar mahupun laman web yang bercerita tentangnya. Semua isi laman web itu mengutuknya kerana berpakaian menjolok mata. Dalam sekelip mata Julia merasakan dia seolah-olah tersohor di Malaysia malah mungkin seluruh Asia.

Dia tahu yang mungkin seluruh rakyat Malaysia akan mengenalinya selepas ini walaupun dia dikaitkan dengan cerita tidak elok.

Bagi Julia pengorbanan yang dilakukan dengan memperjudikan maruahnya itu sangat berbaloi. Ya, berbaloi dengan populariti yang dia dapat dalam sekelip mata.

"Aku berjaya!"

Friday, March 25, 2011

Jadi artis terkenal

Julia membelek-belek gaun ketat yang dipakainya di hadapan cermin. Gaun yang berwarna coklat itu memiliki warna hampir sama dengan kulitnya. "Nampak cantik tapi agak seksi di bahagian dada." getusnya dalam hati.

"Tapi takpe sebab ini adalah pengorbanan yang perlu aku buat untuk menjadi artis terkenal sekelip mata." Katanya sambil tersengih melihat dirinya di dalam cermin.

Tanpa berlengah dia terus turun ke lobi hotel dan disambut oleh pemandu kereta yang akan membawanya  ke majlis anugerah gilang gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands. Mata pemandu kereta tidak berkelip melihat bahagian tubuhnya yang terdedah itu. Julia tersenyum sinis.

Sesampainya di sana, pintu kereta dibuka oleh pegawai yang menjaga laluan karpet merah dan Julia pun keluar daripada kereta dengan perasaan bangga. Sebaik sahaja kelibatnya dilihat oleh wartawan dan jurukamera maka berduyun-duyun jurukamera mengambil gambarnya. Julia mengambil kesempatan ini bergaya dengan pelbagai posisi yang dirasakan hebat.

Majlis anugerah berlansung dengan jayanya. Walaupun Julia tidak memenangi apa-apa anugerah. tetapi dia merasakan seperti antara pemenang pada malam itu memandangkan rancangannya nampak berjaya. Manakan tidak, setiap mata memandang ke susuk tubuhnya yang mengenakan fesyen yang tidak pernah dipakai artis tempatan.

"Aku berjaya!" 

Thursday, March 24, 2011

Bunuh diri

Si gadis duduk di birai bangunan paling atas KB Mall, dia merenung masa depannya tanpa menyedari ada tangan yang cuba memegangnya dari belakang. Dalam pemikiran si gadis hanya tinggal satu jalan penyelesaian sahaja untuk masalah yang menyerabutkan kepalanya. Masalah emak dan ayah bergaduh, kekasih nak putuskan hubungan dan keputusan peperiksaan SPM yang agak teruk.

Semua masalah ini cukup untuk dijadikan hujah dia mengambil keputusan penting ini. Tiba-tiba satu tangan memegang lengannya dari belakang. dia cuba untuk meronta tetapi gagal. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menjatuhkan tubuhnya daripada bangunan tinggi KB Mall. Usahanya itu gagal kerana tangannya dipegang erat oleh seorang lelaki yang berpakaian seragam Anggota Bomba.