Alan dan Toriq yang masih dalam keadaan terkejut dan berdebar, hanya mampu berdiam diri sepanjang perjalanan ke AirPeak Tech untuk mesyuarat.
Selepas habis mesyuarat dan sudah melebihi waktu pejabat, Toriq mengajak Alan untuk minum di kedai mamak berdekatan pejabat mereka. Alan terus sahaja bersetuju memandangkan dia tiada janji mahupun komitmen petang itu.
"Bagi saya teh tarik dan roti telur satu." respon Alan pada pelayan.
"Saya pun sama." sahut Toriq.
"Apa cerita ajak aku minum ni?" Tanya Alan.
"Saja je, lagipun lama kita tak berbual panjang."
Setelah lama terdiam menunggu pesanan yang masih belum sampai, Toriq pun memulakan cerita.
"Sebenarnya selalu terjadi macam ni. Kalau terserempak dengan peronda memang mereka mudah cam orang asing memandu kenderaan terutama motor. Lagipun aku pakai topi keledar yang visor nampak dalam. Mungkin lepas ni aku kena tukar yang visor gelap sikit."
"Itulah, aku pun cuak juga tadi. Pertama kali kena sekat dengan kereta peronda. Lepas tu siap bawa senjata automatik lagi." Tambah Alan.
"Sudah banyak kali aku kena sekat dengan peronda terutama sebelum aku mohon lesen tempatan."
"Habis tu duit gaji kau habis kena bayar saman beratus ringgit la?"Tanya Alan.
Perbualan mereka terhenti seketika apabila pelayan kedai mamak membawa tempahan makanan ke meja.
Selepas menghirup teh tarik yang menjadi ketagihan Toriq maka dia terus menjawab soalan Alan.
"Tak la banyak habis sebab setiap kali kena sekat aku bagi duit kopi untuk mereka. Mujur mereka terima, mungkin mereka perlukan duit lebih. Maklumlah hidup di KL ni maintenance tinggi. "
"Biar betul Toriq! Engkau jangan nak main fitnah je."
"Eh, betullah. Tidak la semua peronda terima duit kopi tetapi ada la yang terima. Lagipun diorang mudah terima benda ni daripada orang asing sebab orang tempatan banyak risiko takut nanti dilaporkan kepada pencegah rasuah."
No comments:
Post a Comment